Monday, December 14, 2009

Ketumbar dari dTaman69


Akhirnya satu lagi hasil tanaman dituai dari dTaman69. Kali ini giliran ketumbar (coriander). Bijinya dituai untuk dijadikan herba. Sepohon ketumbar dapat menghasilkan lebih daripada 10 biji ketumbar. Walaupun mungkin tak berbaloi untuk jualan, kerana hanya dengan 50 sen kita sudah dapat sepeket biji ketumbar, namun hasil daripada tanaman sendiri puasnya lain. Puas kerana dapat melihat hasil ini dibotolkan untuk menanti giliran dimasak dDapur69 nanti. Kata isteri ia adalah ramuan utama kepada hampir kebanyakkan masakan yang menggunakan rempah-ratus. Terutamanya makanan kegemaran masakan isteri saya - ungkep. Tak sabar untuk cukup biji ketumbar ini untuk digunakan nanti.

Sunday, December 13, 2009

Seminggu tidak berhujan

Hampir seminggu di JB. Rupa-rupanya hampir seminggu juga hujan tidak turun dTaman69, Gombak. Kata jiran-jiran, hanya angin bertiup kencang dan dingin menyapa sepi dTaman69. Akibatnya, banyak pokok di taman69 kering, dan ada di antaranya mati. Sawi pun ada yang sudah layu. Anak-anak benihnya pula tidak tumbuh-tumbuh lagi, agaknya kerana tanahnya kering. Ketumbar pula galak berbuah, dan kering akhirnya mati. Syukur, rumput karpet tidak pula terjejas. Maka, sepanjang pagi ini, setelah mengenakan pakaian kebun, terus saya bersihkan apa-apa yang patut, sambil-sambil membaja kawasan 'segitiga subur' dengan baja kompos buatan sendiri....

Sunday, December 6, 2009

Dah tak perlu membeli...



Akhirnya, saya sekeluarga sudah tidak perlu membeli sayur sawi di pasar. Sudah cukup memetiknya dari dTaman69. Lebih segar dan sudah tentu lebih sihat kerana tidak disembur racun. Bajanya pun dari dapur69, baja kompos hasil sisa makanan. Sawi, yang ditabur benihnya memerlukan jangkamasa satu bulan sebelum ia dapat dituai. Tetapi apabila ia matang, memang berbaloi menunggu sebulan untuk makan. Kini apa yang perlu saya lakukan ialah sentiasa memindahkan anak-anak sawi dari batas semaiannya ke 'segitiga emas dTaman69' untuk melihatnya membesar. Dan sudah tentu bekalan sawi saya tidak kehabisan lagi!

Friday, December 4, 2009

Menjadi tanah akhirnya


Akhirnya usaha saya untuk mengkompos sampah dapur berjaya! Berjaya menjadi tanah baja yang boleh digunakan semula untuk tanaman dTaman69.

Caranya amat mudah. Asingkan daripada sisa makanan yang pedas dan berkuah, serta tulang-tulang. Yang tinggal hanyalah sisa makanan yang berunsurkan sayuran/kulit buahan/kulit bawang; juga ditambah dengan sisa taman seperti rumput, diletakkan di dalam satu bekas yang bertutup. Tetapi harus sentiasa dibasahkan - sehingga 50% daripada kandungannya adalah kelembapan. Biarkan beberapa minggu...dan hasilnya.....BAJA KOMPOS buatan sendiri!!

Monday, November 23, 2009

Projek Taman Dapur

Semalam memenuhi jemputan Prof. Dr. Siti Zainon untuk duduk berbincang dengan AJK madrasah tarbiyah, jalan gombak, untuk memperkasakan kampung-kampung sekitarnya yang bergabung bahu untuk melihat kampung mereka dimakmurkan lagi, lantas untuk memantapkan masyarakat kampung di dalam bandar.

Ia merupakan satu usaha Prof Siti yang amat murni. Selain daripada mempertahankan kampung-kampung tradisi di kotaraya Kuala Lumpur, serampang dua mata juga dilakukan untuk melihat anak bangsa terus kukuh imannya dan menjadi seorang insan yang beriman.

Saya terpanggil juga untuk membantu apa yang patut di dalam usaha pemerkasaan ini. Projek Taman Dapur dipilih. Insya Allah, tanah-tanah kosong telah dikenalpasti oleh pak imam dan anak-anak buahnya untuk satu projek bersepadu dijalankan. Konsep Community Garden dicadangkan. Tanaman kampung akan dipilih untuk dijadikan tanaman konsep kampung-kampung tersebut. Juga projek Decentralized Composting Community (seperti yang telah dijalankan di Dhaka) akan juga dijadikan projek perintis di kampung-kampung ini. Konsep lestari akan diperkasakan, dan segala teori yang telah saya kutip sepanjang pembacaan untuk PhD saya akan mula diaplikasikan di sini.

Insya Allah, sekiranya semua perancangan ini dilaksanakan, kampung-kampung tersebut akan tidak lagi 'dilabelkan sebagai kampung setinggan', yang sememangnya tidak boleh dikatakan setinggan. Kerana penubuhan kampung-kampung itu sama tuanya dengan pembukaan Kuala Lumpur! Pemerkasaan ini tentunya memerlukan satu usaha bersepadu yang akan saya libatkan pelajar dan sahabat-sahabat saya nanti. Ayuh!

Sunday, November 15, 2009

Bunga bawang


Bawang adalah antara tanaman yang paling mudah untuk ditanam. Hanya memerlukan bawang yang cuma perlu dipotong bahagian bawahnya, dan terus dicucuk ke tanah. Tunggu beberapa minggu, akhirnya daun bawang yang cukup tinggi untuk dikerat bagi kegunaan masakan. Beberapa minggu lagi, bawang akan menghasilkan bawang lain untuk dituai. Walaupun saya sudah banyak menanam bawang untuk kegunaan Dapur69, selalunya bawang-bawang itu tidak sempat untuk sempurna membesar. Terus sahaja dicabut apabila didapati daunnya telah kekuningan. Kali ini, bawang yang ditanam berbunga. Cantik sekali, apatah lagi putihnya dihujung daun hijaunya. Kata kawan, biarkan untuk beberapa ketika lagi sehingga bunga bertukar menjadi biji, dan itulah biji benih yang boleh disemai sebagai bawang. Kali ini saya akan belajar untuk lebih bersabar ketika berkebun!

Saturday, November 14, 2009

Keluarga besar @ dTaman69


Walaupun hujan sepanjang hari, namun acara dChe'gues Licence to Grill berjaya diadakan malam tadi. Asalnya ia akan menjadi acara Jamuan Makan Malam di Taman, namun hujan yang turun tak berhenti memaksa kami menukar sedikit acaranya. Makan di dalam Rumah69, dan digolekkan seekor kambing di bawah naungan khemah biru di atas rumput dTaman69. Akhirnya, lewat malam hujan berhenti. Dan khemah biru pun dialihkan, bolehlah saki-baki dChe'gues 'melepak' sambil makan sisa-sisa kambing di bawah langit berbumbungkan bintang-bintang. Angin pula sepoi-sepoi bahasa menyapa kami dengan tenangnya. Keluarga besar dChe'gues akhirnya disatukan dTaman69. Insya Allah, tahun depan acara ini akan berlangsung di taman-taman lain pula kepunyaaan ahli-ahli dChe'gues!

nota: gambar ehsan dari canon bro handz

Monday, November 9, 2009

Berita Terkini

Agak lama tak update blog ini. Taman69 pun basah setiap hari. Hujan. Ada antara pokok bunga yang dah mati. Perlu diganti. Sawi dah beberapa kali dipetik makan. Diganti dengan anak-anak sawi pada tapak semaian. Basil pun dah tinggi memecah pinggang anak 6 tahun. Pokok ubi kayu dah banyak daunnya. Dipetik sesekali untuk dibuat ulam. Pokok cili dah banyak mati. Agaknya diserang ulat kat dalam tanah. Bawang dah berbunga. Ada yang telah dicabut. Ketumbar pun dah berbunga. Tinggi melampai. Ruang baru dTaman69 pun dah mula bertambah. Ruang baru ditanam pelbagai sayuran dan pokok dapur. Pastinya banyak kerja perlu diselesaikan.

Saturday, October 24, 2009

Untukmu dDapur69


Menuai hasil tanaman untuk Dapur69...apalagi untuk masak malam! Sayur sawi, daun bawang dan sedikit cili dari dTaman69. Tentunya segar dari taman dapur....

Friday, October 23, 2009

Dia kembali mekar

Bluewigs (atau Torenia fournieri) ini asalnya telah saya cabut kerana sudah ajalnya begitu. Ia cantik dan menawan, apatah lagi apabila mekarnya banyak di taman. Namun hayatnya tidak panjang. Setelah hampir 2 bulan berlalu, baru-baru ini saya terlihat semula bunganya mekar kembali dTaman69. Kali ini ia kecil dan comel di celah-celah pepohon lain. Rupa-rupanya, sebelum si ibu dicabut mati, ia sempat 'melahirkan' anak-anaknya yang comel. Kini ia kembali menawan. Dan saya mengharapkan kehadiran semula anak-anaknya itu akan menyerikan semula dTaman69!

Wednesday, October 21, 2009

Tanaman untuk dapur69



Foto-foto ini diambil selepas hujan lebat di Taman69. Alhamdulillah, kehijauan setiap satu daripada tanaman ini akan masak ranum untuk dipetik tidak berapa lagi.....Yang paling penting, ia tidak pernah disiram dengan racun. Malah boleh dipetik begitu sahaja untuk disuap terus ke dalam perut ! tapi tentunya bukan cili itu!

Herba dari dTaman69


Agaknya kunyit boleh diklasifikasikan sebagai herba....maka saya telah menghasilkan herba sendiri dengan mencungkil kunyit yang ditanam (yang telah togel daunnya akibat selalu digunakan untuk membakar ikan siakap), mengisar, menjemur dan menyaring...akhirnya terhasillah kunyit dTaman69!

Daun lavender juga boleh menghasilkan herba. Lebih mudah, petik, jemur dan kisar. Maka terhasillah herba Lavender dTaman69. Saya belum mencuba menggunakan herba ini, namun apa yang pasti ia amat sesuai untuk diperam bersama daging (atau ayam) untuk BBQ. Lepas ini perlu mencari perkakasan BBQ pula. Untuk berBBQ di Taman69 dengan adunan herba sendiri!

Yang belum diproses dedaun Rosemary. Sayang pula untuk petik apabila melihat tumbuhan itu makin rendang. Juga, daun Basil (atau kita kenal ia sebagai selasih) tumbuh tinggi dan subur. Pernah memetiknya untuk dijadikan salad. Belum dikisar untuk dijadikan herba.

Friday, October 16, 2009

Penyelenggaraan dTaman69


Seminggu dua ini saya sibuk menyelenggara dTaman69. Dengan keadaan pokok-pokok bunga yang mulai kehilangan seri bunga-bunganya, pohon-pohon cili yang semakin kecut, herba yang semakin mengering, kunyit yang semakin hilang daunnya (dikerat untuk dimasak), maka memang masa yang sesuai untuk saya menyelenggaranya dengan kekuatan maksimum. Pokok-pokok bunga saya kerat dengan harapan akan tumbuh pucuk baru, manakala bunga-bunga yang sudah kering dipetik dan diuraikan biji-biji benihnya untuk disimpan dan ditanam semula. Manakala daun-dauh herba dipetik dan dikeringkan untuk dijadikan herba dan disimpan pada rak kemudiannya. Sementara itu seperti yang saya tuliskan sebelum ini, kunyit dikorek dan diproses untuk dijadikan serbuk kunyit.

Wednesday, October 14, 2009

Kailan


Kailan, yang selalunya digandingkan dengan ikan masin, untuk menjadi sayur kailan ikan masin, telah selamat dituai dari Taman69. Walaupun tidak banyak, namun cukup untuk dijadikan sayur air yang dicampur dengan sawi, juga dari Taman69. Yang menariknya sayur kailan ini, tekstur daunnya agak tebal dan menarik untuk ditenung, sehinggakan sayang pula untuk memasaknya. Selepas ini saya akan sediakan batas khas untuk penanaman kailan pula.....

Tuesday, October 13, 2009

Generasi kedua


Pokok-pokok bunga dTaman69 yang galak berbunga sebulan dua ini rupa-rupanya sedang berusaha 'melahirkan' generasi seterusnya. Alhamdulillah....sekarang mereka sudah lahir dan sedang membesar. Tentunya pemilik dTaman69 berasa lega, kerana tidak perlu lagi berulang-alik ke Sungai Buluh untuk menambah koleksi. Saya amat menunggu saat 'anak-anak' ini membesar dan meneruskan legasi ibu-bapanya menarik minat fauna mendatangi dan menghisap kemanisan madunya.

Monday, October 12, 2009

Kuning kunyit




Salah-satu tanaman dTaman69 yang paling banyak berjasa kepada Dapur69 ialah kunyit. Daunnya digunakan untuk alas membakar ikan (terutamanya ikan siakap bakar). Daunnya boleh dimakan, sedap apabila kulit ikan terlekat padanya. Manakala ubinya, dikisar, dikering dan boleh digunakan sebagai kunyit yang biasa digunakan untuk mengunyit ikan.

Sunday, October 11, 2009

Lagi-lagi bergambar dTaman69

Beberapa jemputan bergambar dTaman69. Mengabadikan kenangan di sini....

Pembantu yang rajin


Inilah pembantu-pembantu yang penting di dalam pengurusan taman69. Kalau tidak ada yang berempat ini, tentu sakit tangan dibuatnya. Apatah lagi untuk mengorek, menggembur, memindah, merumput dan pelbagai lagi tugasan yang telah dilakukan mereka. Namun tips terpenting untuk memilih peralatan ini: belilah peralatan yang kelihatan kuat dan bahannya memang kuat.

Friday, October 9, 2009

Mengkompos



Salah-satu elemen yang penting di dalam sesebuah taman/kebun ialah baja. Baja boleh didapati terus dari kedai di dalam pelbagai bentuk. Saya juga ada menggunakan baja yang dibeli, tetapi sekarang ini masih di dalam proses membuat baja sendiri dengan mengkompos sampah-sampah dapur (yang juga dikenali sebagai wet waste). Di dalam penyelidikan saya, mendapati bahawa 70% daripada sampah yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia adalah terdiri daripada sampah basah (dapur) yang tidak boleh dikitarsemula. Peratusan ini juga benar untuk negara-negara dunia ketiga lainnya. 70% inilah yang akhirnya dibuang di tapak pelupusan sampah. Maka, untuk mengurangkan pembuangan sampah ke tapak pelupusan, sampah perlu dialihkan ke kawasan-kawasan lain dengan menggunakan hirarki pengurusan sampah (Waste Hierarchy: Reduce, Reuse, Recycle, Compost, Landfill). Matlamat kerajaan Malaysia (menerusi Masterplan of Waste Management) ialah untuk menutup 100% tapak pelupusan sampah menjelang 2020.

Saya begitu teruja dengan aktiviti mengkompos. Saya telah memulakan aktiviti ini sejak dTaman69 terbina. Sampah-sampah dapur seperti kulit bawang, lebihan sayur, lebihan masakan (yang tidak berminyak, berkari atau tulang tidak dibenarkan langsung memasuki proses mengkompos) juga rumput-rampai yang dicabut dari Taman69 dimasukkan ke dalam satu pasu panjang, ditutup dan sentiasa disiram untuk memastikan peratusan kelembapannya bersesuaian. Menerusi sebuah buku, saya mendapati bahawa untuk menjayakan aktiviti mengkompos, unsur Nitrogen, Karbon, Air dan Udara perlulah seimbang.

Nanti sambung lagi pelajaran mengkompos ini....mahu sambung berkebun!

Sunday, October 4, 2009

Beraya dTaman69


Hari ini paling istimewa, menerima kunjungan raya sahabat-sahabat sepengajian di Edinburgh dulu. Antara keluarga Melayu yang paling rapat semasa di Scotland dahulu. Bertukar-tukar cerita setelah usai pengajian 5 tahun dahulu memang menggamit 1001 kenangan. Kini masing-masing sibuk pula meneruskan pengajian di peringkat PhD di universiti-universiti tempatan. dTaman69 menjadi lokasi terpenting untuk merakamkan suasana kunjungan raya ini. Malah, dTaman69 mengalu-alukan sahabat-sahabat lain untuk bertandang ke sini, dan merakamkan saat-saat manis kunjungan itu di sini nanti.

Saturday, October 3, 2009

Patah tumbuh hilang berganti


Bunga-bungaan di Taman69 kembangnya semakin pudar...mungkin kerana sudah tiba masanya ia gugur untuk memberi nafas baru dengan berkembangnya pula bunga penggantinya. Terutamanya bunga jenis ini (foto), apabila gugur, bunganya itulah kemudiannya akan disemai sebagai pohon baru. Moga-moga ia akan menjadi generasi kedua yang berjaya mencambahkan pula generasi seterusnya untuk terus memekari Taman69.

Friday, October 2, 2009

Hasil tanaman


Saya lihat pokok bawang yang ditanam sudah nampak layu. Walaupun kurang subur berbanding dengan hasil tanaman bawang bulan lepas, terpaksa juga saya korek tanah untuk mengeluarkan hasil tanaman bawang untuk bulan ini. Agak kecil, namun sekurang-kurangnya ia tetap bawang!

Thursday, October 1, 2009

Dangerous Egg


Salah-satu masakan kegemaran saya yang sejak dari bangku sekolah lagi ialah 'Dangerous Egg' yang saya 'reka' dan masak sendiri. Ia sebenarnya 'sandwic' telur. Yang menjadikannya ia 'dangerous' kerana ditambah dengan cili. Tetapi acapkali pula saya menambah rasa dengan menginovasikan resepinya. Pada kesempatan ini pula saya menambah rasa dengan mencampurkan helaian rosemary (yang saya tanam dan petik segar dari Taman69 belakang rumah) ditambah dengan cili 'tomato' (yang juga dari Taman69 tapi kini sudah mati!), diguriskan sedikit cheese kraft, ditambah dengan bawang goreng dan bawang putih yang dihentak lalu digoreng, ditambahrasa dengan sos cili, dan dibuat dua lapis....sungguh menyelerakan pada waktu kelaparan yang amat!

Tuesday, September 29, 2009

Apa sudah jadi?

Kata orang pokok cili banyak penyakit. Mudah dijangkiti, dan mudah rosak. Memang ada benarnya. Antara banyak-banyak tumbuhn yang ada di Taman69, pokok cililah yang perlu selalu dibelai manja. Perlu selalu dilihat tanda-tanda pada daunnya.

Sejak malam tadi saya melihat pada 2 buah pokok cili saya yang tingginya sudah melepasi aras pinggang. Selama ini ia subur dan tahan dari penyakit, berbanding dengan jenis cili lain. Tetapi sekarang ia tampak layu. Bukan kerana tidak disiram. Malah setiap hari saya menyiramnya, apatah lagi hujan sepanjang hari semalam.

Lalu terus saya cuba mencari kepastian. Cuba mencari maklumat menerusi internet. Dan akhirnya menelefon sahabat saya, Dr. Rashidi. Katanya ada 2 sebab utama: terkurang air atau terlebih air. Hendak dikatakan terkurang air, mustahil. Maknanya ia terlebih air. Ada benarnya, kerana hujan semalam telah menenggelamkan batasnya. Apa yang perlu saya lakukan sekarang ia kurangkan aktiviti menyiram, dan menggembur tanah semoga ia cepat kering. Harap-harapnya menjadi.

Sunday, September 27, 2009

Sudut Herba British


Seminggu beraya di kampung. Tanaman di taman sudah banyak yang kering akibat tidak hujan seminggu. Ada yang sempat diselamatkan, dan ada yang terpaksa dikuburkan. Antaranya pokok cili tomato kesayangan saya. Terpaksa dikorbankan. Dan digantikan dengan dua pokok baru yang baru ditemui di nursery Sungai Buloh.

Saya tidak pernah menyangka bahawa ada spesis Lavender yang boleh dimakan. Terus dibeli dan ditempatkan di sudut Herba British yang juga menempatkan tanaman lain seperti Basil, Sage dan juga Rosemary. Tidak juga menyangka bahawa tanaman ini akan subur di sini. Mungkin juga kerana tanah dan cuacanya yang sesuai. Taman69 terletak di atas bukit, walaupun tidak tinggi seperti Cameron, sekurang-kurangnya angin pagi dan malam agak sejuk.

Semalaman saya dan isteri membelek-belek buku resepi British (yang dibeli semasa di Scotland dahulu) untuk mendapatkan idea penggunaan herba-herba British ini. Saya begitu teruja apabila membeli Rosemary, yang terkenal dengan penggunaannya bersama daging atau ayam yang dibakar.

Thursday, September 17, 2009

Kompos


Semasa mencari dan membaca Literature Review untuk kajian saya, saya ketemui satu keratan akhbar mengenai pengurusan sampah (menjurus kepada aktiviti mengkompos di Putrajaya). Ingin saya melihat sendiri perlaksanaannya di Putrajaya nanti

Tuesday, September 15, 2009

Rujukan utama dTaman69

Dua buah majalah yang menjadi rujukan utama dTaman69 sekarang ini:

Monday, September 14, 2009

Peringkat pertama dan seterusnya

Foto ini diambil dari laman isteri saya. Menunjukkan pembinaan Taman69 pada peringkat awal dahulu. Kini ia sudah subur dan menghijau, ditambah dengan beberapa elemen-elemen landskap lain.

Cili


Cili (atau cabai) adalah kegemaran nombor satu saya. Kalau makan tidak bersama cili, memang tidak sah. Akan terasa hambar segala jenis masakan. Kerana itulah, d Taman 69, saya akan pastikan cili ditanam subur. Setakat ini sudah ada 4 jenis cili yang sudah boleh dituai.

Sunday, September 13, 2009

Sampah dapur dan taman

Salah-satu elemen terpenting di Taman69 adalah komposting (composting) sampah-sampah dari dapur dan taman. Tujuan utama adalah untuk mengurangkan pembuangan sampah ke tapak pelupusan, dan yang terpenting hasilnya akan dijadikan baja untuk tumbuh-tumbuhan yang menetap di Taman69 nanti.

Ia juga penting kerana merupakan sebahagian daripada kajian PhD saya sekarang ini. Nanti akan kemaskinikan lagi cerita tentang komposting ini....

Saya pernah menulis tentang komposting di dalam Utusan Malaysia.

Saturday, September 12, 2009

Kembara Spesimen




Sudah tiga kali kembara saya bersama pasukan Dr. Rashidi - pencari spesimen (ala-ala Indiana Jones) ke hutan dan tasik: bermula dengan Tasik Chini, kemudian Tasik Bera dan terkini ke hutan Bukit Fraser. Alhamdulillah, semuanya di dalam bulan Ramadhan. Walaupun berpuasa, namun pasukan kami sanggup meredah hutan dan tasik, semata-mata untuk mengutip sebanyak mana ilmu Allah di muka bumi ini.

Dr. Rashidi, pakar hortikultur, memang minatnya mendalam terhadap flora dan fauna. Sekarang beliau berusaha untuk mengumpul spesimen tumbuhan air dan gunung, juga mendokumentasikan ekosistem spesimen-spesimen itu. Tentunya, bagi saya, sebagai orang luar dalam bidang ini, begitu teruja untuk mempelajari ilmu-ilmu baru ini.

Saya ditugaskan untuk mengambil seberapa banyak foto. Untuk diabadikan sebagai dokumen dan juga pastinya sebagai buku-buku kemudiannya. Juga ilmu-ilmu baru ini saya kutip untuk mewujudkan ekosistem tersendiri di Taman 69 nanti!

Friday, September 11, 2009

Langkah Pertama

Saya setkan laman baru ini dengan tujuan untuk mendokumentasikan segala aktiviti perkebunan saya di laman peribadi rumah saya. Ia bukan sahaja berkaitan dengan penanaman pokok, sebaliknya melibatkan pelbagai aktiviti sampingan seperti pengurusan sampah (composting, recycling, etc.), elemen-elemen rekabentuk (sendiri punya), kitchen gardening, english gardening, pembacaan yang berkaitan (dihubungkan dengan blog kembara pencinta buku), dan pelbagai lagi acara menarik! Rujukan utama pembinaan blog ini adalah merujuk kepada rancangan tv kegemaran saya RiverCottage.

Tentunya, di akhir bicara akan saya kumpulkan semua pengalaman baru dan menyeronokkan ini ke dalam bentuk buku. Ini azam saya untuk membawa masyarakat Malaysia ke arah kehidupan baru, Insya Allah.

dTaman69

Related Posts with Thumbnails