Sunday, March 21, 2010

Pokok geti


Terasa rugi pula apabila pulang ke kampung minggu lepas tidak sempat untuk merakam gambar pokok-pokok geti yang ditanam ibu di sebelah rumah. Pokok geti ada dua jenis, berdasarkan kepada warna bunganya: satu berwarna merah dan satu lagi berwarna putih.

Kalau di utara (terutamanya kampung saya di Perlis), bunga geti dimasak kerabu. Manakala daun geti boleh dimasak lemak.

Kalau di Johor, pokok geti dikenali sebagai pokok turi. Tetapi menurut isteri saya, hanya daunnya digunakan untuk memasak lemak. Bunga tidak dibuat kerabu dan tidak dimakan.

Apa-apa pun, anak kecil pokok geti di Taman69 sedang membesar. Tidak sabar rasanya untuk menunggu bunga dan daunnya untuk dimasak dan dihidangkan di Dapur69 kelak!

nota: boleh baca lanjut di http://herbasihat.blogspot.com/2007/10/pokok-geti-turi.html

Saturday, March 20, 2010

Keadaan terkini dTaman69

Sejak sebulan dua ini cuaca agak panas. Menyebabkan dTaman69 turut terjejas sedikit dengan tidak ada penghasilan sayuran sawi untuk dimasak di Dapur69. Benih sawi yang ditabur juga mati, biarpun pada awalnya tumbuh merucup setelah dua hari disemai. Tanah merekah, walaupun disiram setiap hari. Tanah yang dulunya hitam berbaja, kini ia kering dan menjadi keras berwarna kemerahan. Walaupun saya mempunyai baja kompos buatan sendiri, saya tidak mahu menggunakan baja itu di Taman69 pada waktu ini. Ingin mahu menambah bekalan sehingga ia mencukupi untuk menampung keperluan dTaman69 kelak.

Mungkin inilah adat dunia. Dan mungkin juga inilah yang dikatakan kesan pemanasan global.

Namun, sedikit cahaya pada kesuburan dTaman69. Beberapa jenis tumbuhan baru ditanam, yang kebanyakkannya dibawa dari kampung Perlis dan juga dari Batu Pahat Johor. Misalnya pokok geti yang biji benihnya dibawa ibu sebulan yang lepas.


Juga pokok paya pantai dan hempedu bumi yang disemai ibu di perlis dan ditanam semula di tanah dTaman69.

Ulam raja pun sudah mula tumbuh rancak. Dengan harapan dapat membekalkan ulaman kepada kami, terutamanya isteri yang memang amat suka pada ulam-ulaman. Pokok ulam ginseng pula yang pada awalnya tumbuh subur di satu kawasan 'segitiga ulam-ulaman', mula kehilangan daun, tetapi apabila disemai semula dari batangnya ke kawasan baru, ia mula menampakkan kehidupan baru, dan mungkin dapat meneruskan semula legasinya sebagai pokok ulam yang unik di Taman69.
Related Posts with Thumbnails