Monday, November 23, 2009

Projek Taman Dapur

Semalam memenuhi jemputan Prof. Dr. Siti Zainon untuk duduk berbincang dengan AJK madrasah tarbiyah, jalan gombak, untuk memperkasakan kampung-kampung sekitarnya yang bergabung bahu untuk melihat kampung mereka dimakmurkan lagi, lantas untuk memantapkan masyarakat kampung di dalam bandar.

Ia merupakan satu usaha Prof Siti yang amat murni. Selain daripada mempertahankan kampung-kampung tradisi di kotaraya Kuala Lumpur, serampang dua mata juga dilakukan untuk melihat anak bangsa terus kukuh imannya dan menjadi seorang insan yang beriman.

Saya terpanggil juga untuk membantu apa yang patut di dalam usaha pemerkasaan ini. Projek Taman Dapur dipilih. Insya Allah, tanah-tanah kosong telah dikenalpasti oleh pak imam dan anak-anak buahnya untuk satu projek bersepadu dijalankan. Konsep Community Garden dicadangkan. Tanaman kampung akan dipilih untuk dijadikan tanaman konsep kampung-kampung tersebut. Juga projek Decentralized Composting Community (seperti yang telah dijalankan di Dhaka) akan juga dijadikan projek perintis di kampung-kampung ini. Konsep lestari akan diperkasakan, dan segala teori yang telah saya kutip sepanjang pembacaan untuk PhD saya akan mula diaplikasikan di sini.

Insya Allah, sekiranya semua perancangan ini dilaksanakan, kampung-kampung tersebut akan tidak lagi 'dilabelkan sebagai kampung setinggan', yang sememangnya tidak boleh dikatakan setinggan. Kerana penubuhan kampung-kampung itu sama tuanya dengan pembukaan Kuala Lumpur! Pemerkasaan ini tentunya memerlukan satu usaha bersepadu yang akan saya libatkan pelajar dan sahabat-sahabat saya nanti. Ayuh!

Sunday, November 15, 2009

Bunga bawang


Bawang adalah antara tanaman yang paling mudah untuk ditanam. Hanya memerlukan bawang yang cuma perlu dipotong bahagian bawahnya, dan terus dicucuk ke tanah. Tunggu beberapa minggu, akhirnya daun bawang yang cukup tinggi untuk dikerat bagi kegunaan masakan. Beberapa minggu lagi, bawang akan menghasilkan bawang lain untuk dituai. Walaupun saya sudah banyak menanam bawang untuk kegunaan Dapur69, selalunya bawang-bawang itu tidak sempat untuk sempurna membesar. Terus sahaja dicabut apabila didapati daunnya telah kekuningan. Kali ini, bawang yang ditanam berbunga. Cantik sekali, apatah lagi putihnya dihujung daun hijaunya. Kata kawan, biarkan untuk beberapa ketika lagi sehingga bunga bertukar menjadi biji, dan itulah biji benih yang boleh disemai sebagai bawang. Kali ini saya akan belajar untuk lebih bersabar ketika berkebun!

Saturday, November 14, 2009

Keluarga besar @ dTaman69


Walaupun hujan sepanjang hari, namun acara dChe'gues Licence to Grill berjaya diadakan malam tadi. Asalnya ia akan menjadi acara Jamuan Makan Malam di Taman, namun hujan yang turun tak berhenti memaksa kami menukar sedikit acaranya. Makan di dalam Rumah69, dan digolekkan seekor kambing di bawah naungan khemah biru di atas rumput dTaman69. Akhirnya, lewat malam hujan berhenti. Dan khemah biru pun dialihkan, bolehlah saki-baki dChe'gues 'melepak' sambil makan sisa-sisa kambing di bawah langit berbumbungkan bintang-bintang. Angin pula sepoi-sepoi bahasa menyapa kami dengan tenangnya. Keluarga besar dChe'gues akhirnya disatukan dTaman69. Insya Allah, tahun depan acara ini akan berlangsung di taman-taman lain pula kepunyaaan ahli-ahli dChe'gues!

nota: gambar ehsan dari canon bro handz

Monday, November 9, 2009

Berita Terkini

Agak lama tak update blog ini. Taman69 pun basah setiap hari. Hujan. Ada antara pokok bunga yang dah mati. Perlu diganti. Sawi dah beberapa kali dipetik makan. Diganti dengan anak-anak sawi pada tapak semaian. Basil pun dah tinggi memecah pinggang anak 6 tahun. Pokok ubi kayu dah banyak daunnya. Dipetik sesekali untuk dibuat ulam. Pokok cili dah banyak mati. Agaknya diserang ulat kat dalam tanah. Bawang dah berbunga. Ada yang telah dicabut. Ketumbar pun dah berbunga. Tinggi melampai. Ruang baru dTaman69 pun dah mula bertambah. Ruang baru ditanam pelbagai sayuran dan pokok dapur. Pastinya banyak kerja perlu diselesaikan.
Related Posts with Thumbnails