Monday, December 14, 2009

Ketumbar dari dTaman69


Akhirnya satu lagi hasil tanaman dituai dari dTaman69. Kali ini giliran ketumbar (coriander). Bijinya dituai untuk dijadikan herba. Sepohon ketumbar dapat menghasilkan lebih daripada 10 biji ketumbar. Walaupun mungkin tak berbaloi untuk jualan, kerana hanya dengan 50 sen kita sudah dapat sepeket biji ketumbar, namun hasil daripada tanaman sendiri puasnya lain. Puas kerana dapat melihat hasil ini dibotolkan untuk menanti giliran dimasak dDapur69 nanti. Kata isteri ia adalah ramuan utama kepada hampir kebanyakkan masakan yang menggunakan rempah-ratus. Terutamanya makanan kegemaran masakan isteri saya - ungkep. Tak sabar untuk cukup biji ketumbar ini untuk digunakan nanti.

Sunday, December 13, 2009

Seminggu tidak berhujan

Hampir seminggu di JB. Rupa-rupanya hampir seminggu juga hujan tidak turun dTaman69, Gombak. Kata jiran-jiran, hanya angin bertiup kencang dan dingin menyapa sepi dTaman69. Akibatnya, banyak pokok di taman69 kering, dan ada di antaranya mati. Sawi pun ada yang sudah layu. Anak-anak benihnya pula tidak tumbuh-tumbuh lagi, agaknya kerana tanahnya kering. Ketumbar pula galak berbuah, dan kering akhirnya mati. Syukur, rumput karpet tidak pula terjejas. Maka, sepanjang pagi ini, setelah mengenakan pakaian kebun, terus saya bersihkan apa-apa yang patut, sambil-sambil membaja kawasan 'segitiga subur' dengan baja kompos buatan sendiri....

Sunday, December 6, 2009

Dah tak perlu membeli...



Akhirnya, saya sekeluarga sudah tidak perlu membeli sayur sawi di pasar. Sudah cukup memetiknya dari dTaman69. Lebih segar dan sudah tentu lebih sihat kerana tidak disembur racun. Bajanya pun dari dapur69, baja kompos hasil sisa makanan. Sawi, yang ditabur benihnya memerlukan jangkamasa satu bulan sebelum ia dapat dituai. Tetapi apabila ia matang, memang berbaloi menunggu sebulan untuk makan. Kini apa yang perlu saya lakukan ialah sentiasa memindahkan anak-anak sawi dari batas semaiannya ke 'segitiga emas dTaman69' untuk melihatnya membesar. Dan sudah tentu bekalan sawi saya tidak kehabisan lagi!

Friday, December 4, 2009

Menjadi tanah akhirnya


Akhirnya usaha saya untuk mengkompos sampah dapur berjaya! Berjaya menjadi tanah baja yang boleh digunakan semula untuk tanaman dTaman69.

Caranya amat mudah. Asingkan daripada sisa makanan yang pedas dan berkuah, serta tulang-tulang. Yang tinggal hanyalah sisa makanan yang berunsurkan sayuran/kulit buahan/kulit bawang; juga ditambah dengan sisa taman seperti rumput, diletakkan di dalam satu bekas yang bertutup. Tetapi harus sentiasa dibasahkan - sehingga 50% daripada kandungannya adalah kelembapan. Biarkan beberapa minggu...dan hasilnya.....BAJA KOMPOS buatan sendiri!!
Related Posts with Thumbnails