Saturday, October 24, 2009

Untukmu dDapur69


Menuai hasil tanaman untuk Dapur69...apalagi untuk masak malam! Sayur sawi, daun bawang dan sedikit cili dari dTaman69. Tentunya segar dari taman dapur....

Friday, October 23, 2009

Dia kembali mekar

Bluewigs (atau Torenia fournieri) ini asalnya telah saya cabut kerana sudah ajalnya begitu. Ia cantik dan menawan, apatah lagi apabila mekarnya banyak di taman. Namun hayatnya tidak panjang. Setelah hampir 2 bulan berlalu, baru-baru ini saya terlihat semula bunganya mekar kembali dTaman69. Kali ini ia kecil dan comel di celah-celah pepohon lain. Rupa-rupanya, sebelum si ibu dicabut mati, ia sempat 'melahirkan' anak-anaknya yang comel. Kini ia kembali menawan. Dan saya mengharapkan kehadiran semula anak-anaknya itu akan menyerikan semula dTaman69!

Wednesday, October 21, 2009

Tanaman untuk dapur69



Foto-foto ini diambil selepas hujan lebat di Taman69. Alhamdulillah, kehijauan setiap satu daripada tanaman ini akan masak ranum untuk dipetik tidak berapa lagi.....Yang paling penting, ia tidak pernah disiram dengan racun. Malah boleh dipetik begitu sahaja untuk disuap terus ke dalam perut ! tapi tentunya bukan cili itu!

Herba dari dTaman69


Agaknya kunyit boleh diklasifikasikan sebagai herba....maka saya telah menghasilkan herba sendiri dengan mencungkil kunyit yang ditanam (yang telah togel daunnya akibat selalu digunakan untuk membakar ikan siakap), mengisar, menjemur dan menyaring...akhirnya terhasillah kunyit dTaman69!

Daun lavender juga boleh menghasilkan herba. Lebih mudah, petik, jemur dan kisar. Maka terhasillah herba Lavender dTaman69. Saya belum mencuba menggunakan herba ini, namun apa yang pasti ia amat sesuai untuk diperam bersama daging (atau ayam) untuk BBQ. Lepas ini perlu mencari perkakasan BBQ pula. Untuk berBBQ di Taman69 dengan adunan herba sendiri!

Yang belum diproses dedaun Rosemary. Sayang pula untuk petik apabila melihat tumbuhan itu makin rendang. Juga, daun Basil (atau kita kenal ia sebagai selasih) tumbuh tinggi dan subur. Pernah memetiknya untuk dijadikan salad. Belum dikisar untuk dijadikan herba.

Friday, October 16, 2009

Penyelenggaraan dTaman69


Seminggu dua ini saya sibuk menyelenggara dTaman69. Dengan keadaan pokok-pokok bunga yang mulai kehilangan seri bunga-bunganya, pohon-pohon cili yang semakin kecut, herba yang semakin mengering, kunyit yang semakin hilang daunnya (dikerat untuk dimasak), maka memang masa yang sesuai untuk saya menyelenggaranya dengan kekuatan maksimum. Pokok-pokok bunga saya kerat dengan harapan akan tumbuh pucuk baru, manakala bunga-bunga yang sudah kering dipetik dan diuraikan biji-biji benihnya untuk disimpan dan ditanam semula. Manakala daun-dauh herba dipetik dan dikeringkan untuk dijadikan herba dan disimpan pada rak kemudiannya. Sementara itu seperti yang saya tuliskan sebelum ini, kunyit dikorek dan diproses untuk dijadikan serbuk kunyit.

Wednesday, October 14, 2009

Kailan


Kailan, yang selalunya digandingkan dengan ikan masin, untuk menjadi sayur kailan ikan masin, telah selamat dituai dari Taman69. Walaupun tidak banyak, namun cukup untuk dijadikan sayur air yang dicampur dengan sawi, juga dari Taman69. Yang menariknya sayur kailan ini, tekstur daunnya agak tebal dan menarik untuk ditenung, sehinggakan sayang pula untuk memasaknya. Selepas ini saya akan sediakan batas khas untuk penanaman kailan pula.....

Tuesday, October 13, 2009

Generasi kedua


Pokok-pokok bunga dTaman69 yang galak berbunga sebulan dua ini rupa-rupanya sedang berusaha 'melahirkan' generasi seterusnya. Alhamdulillah....sekarang mereka sudah lahir dan sedang membesar. Tentunya pemilik dTaman69 berasa lega, kerana tidak perlu lagi berulang-alik ke Sungai Buluh untuk menambah koleksi. Saya amat menunggu saat 'anak-anak' ini membesar dan meneruskan legasi ibu-bapanya menarik minat fauna mendatangi dan menghisap kemanisan madunya.

Monday, October 12, 2009

Kuning kunyit




Salah-satu tanaman dTaman69 yang paling banyak berjasa kepada Dapur69 ialah kunyit. Daunnya digunakan untuk alas membakar ikan (terutamanya ikan siakap bakar). Daunnya boleh dimakan, sedap apabila kulit ikan terlekat padanya. Manakala ubinya, dikisar, dikering dan boleh digunakan sebagai kunyit yang biasa digunakan untuk mengunyit ikan.

Sunday, October 11, 2009

Lagi-lagi bergambar dTaman69

Beberapa jemputan bergambar dTaman69. Mengabadikan kenangan di sini....

Pembantu yang rajin


Inilah pembantu-pembantu yang penting di dalam pengurusan taman69. Kalau tidak ada yang berempat ini, tentu sakit tangan dibuatnya. Apatah lagi untuk mengorek, menggembur, memindah, merumput dan pelbagai lagi tugasan yang telah dilakukan mereka. Namun tips terpenting untuk memilih peralatan ini: belilah peralatan yang kelihatan kuat dan bahannya memang kuat.

Friday, October 9, 2009

Mengkompos



Salah-satu elemen yang penting di dalam sesebuah taman/kebun ialah baja. Baja boleh didapati terus dari kedai di dalam pelbagai bentuk. Saya juga ada menggunakan baja yang dibeli, tetapi sekarang ini masih di dalam proses membuat baja sendiri dengan mengkompos sampah-sampah dapur (yang juga dikenali sebagai wet waste). Di dalam penyelidikan saya, mendapati bahawa 70% daripada sampah yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia adalah terdiri daripada sampah basah (dapur) yang tidak boleh dikitarsemula. Peratusan ini juga benar untuk negara-negara dunia ketiga lainnya. 70% inilah yang akhirnya dibuang di tapak pelupusan sampah. Maka, untuk mengurangkan pembuangan sampah ke tapak pelupusan, sampah perlu dialihkan ke kawasan-kawasan lain dengan menggunakan hirarki pengurusan sampah (Waste Hierarchy: Reduce, Reuse, Recycle, Compost, Landfill). Matlamat kerajaan Malaysia (menerusi Masterplan of Waste Management) ialah untuk menutup 100% tapak pelupusan sampah menjelang 2020.

Saya begitu teruja dengan aktiviti mengkompos. Saya telah memulakan aktiviti ini sejak dTaman69 terbina. Sampah-sampah dapur seperti kulit bawang, lebihan sayur, lebihan masakan (yang tidak berminyak, berkari atau tulang tidak dibenarkan langsung memasuki proses mengkompos) juga rumput-rampai yang dicabut dari Taman69 dimasukkan ke dalam satu pasu panjang, ditutup dan sentiasa disiram untuk memastikan peratusan kelembapannya bersesuaian. Menerusi sebuah buku, saya mendapati bahawa untuk menjayakan aktiviti mengkompos, unsur Nitrogen, Karbon, Air dan Udara perlulah seimbang.

Nanti sambung lagi pelajaran mengkompos ini....mahu sambung berkebun!

Sunday, October 4, 2009

Beraya dTaman69


Hari ini paling istimewa, menerima kunjungan raya sahabat-sahabat sepengajian di Edinburgh dulu. Antara keluarga Melayu yang paling rapat semasa di Scotland dahulu. Bertukar-tukar cerita setelah usai pengajian 5 tahun dahulu memang menggamit 1001 kenangan. Kini masing-masing sibuk pula meneruskan pengajian di peringkat PhD di universiti-universiti tempatan. dTaman69 menjadi lokasi terpenting untuk merakamkan suasana kunjungan raya ini. Malah, dTaman69 mengalu-alukan sahabat-sahabat lain untuk bertandang ke sini, dan merakamkan saat-saat manis kunjungan itu di sini nanti.

Saturday, October 3, 2009

Patah tumbuh hilang berganti


Bunga-bungaan di Taman69 kembangnya semakin pudar...mungkin kerana sudah tiba masanya ia gugur untuk memberi nafas baru dengan berkembangnya pula bunga penggantinya. Terutamanya bunga jenis ini (foto), apabila gugur, bunganya itulah kemudiannya akan disemai sebagai pohon baru. Moga-moga ia akan menjadi generasi kedua yang berjaya mencambahkan pula generasi seterusnya untuk terus memekari Taman69.

Friday, October 2, 2009

Hasil tanaman


Saya lihat pokok bawang yang ditanam sudah nampak layu. Walaupun kurang subur berbanding dengan hasil tanaman bawang bulan lepas, terpaksa juga saya korek tanah untuk mengeluarkan hasil tanaman bawang untuk bulan ini. Agak kecil, namun sekurang-kurangnya ia tetap bawang!

Thursday, October 1, 2009

Dangerous Egg


Salah-satu masakan kegemaran saya yang sejak dari bangku sekolah lagi ialah 'Dangerous Egg' yang saya 'reka' dan masak sendiri. Ia sebenarnya 'sandwic' telur. Yang menjadikannya ia 'dangerous' kerana ditambah dengan cili. Tetapi acapkali pula saya menambah rasa dengan menginovasikan resepinya. Pada kesempatan ini pula saya menambah rasa dengan mencampurkan helaian rosemary (yang saya tanam dan petik segar dari Taman69 belakang rumah) ditambah dengan cili 'tomato' (yang juga dari Taman69 tapi kini sudah mati!), diguriskan sedikit cheese kraft, ditambah dengan bawang goreng dan bawang putih yang dihentak lalu digoreng, ditambahrasa dengan sos cili, dan dibuat dua lapis....sungguh menyelerakan pada waktu kelaparan yang amat!
Related Posts with Thumbnails