Monday, November 23, 2009

Projek Taman Dapur

Semalam memenuhi jemputan Prof. Dr. Siti Zainon untuk duduk berbincang dengan AJK madrasah tarbiyah, jalan gombak, untuk memperkasakan kampung-kampung sekitarnya yang bergabung bahu untuk melihat kampung mereka dimakmurkan lagi, lantas untuk memantapkan masyarakat kampung di dalam bandar.

Ia merupakan satu usaha Prof Siti yang amat murni. Selain daripada mempertahankan kampung-kampung tradisi di kotaraya Kuala Lumpur, serampang dua mata juga dilakukan untuk melihat anak bangsa terus kukuh imannya dan menjadi seorang insan yang beriman.

Saya terpanggil juga untuk membantu apa yang patut di dalam usaha pemerkasaan ini. Projek Taman Dapur dipilih. Insya Allah, tanah-tanah kosong telah dikenalpasti oleh pak imam dan anak-anak buahnya untuk satu projek bersepadu dijalankan. Konsep Community Garden dicadangkan. Tanaman kampung akan dipilih untuk dijadikan tanaman konsep kampung-kampung tersebut. Juga projek Decentralized Composting Community (seperti yang telah dijalankan di Dhaka) akan juga dijadikan projek perintis di kampung-kampung ini. Konsep lestari akan diperkasakan, dan segala teori yang telah saya kutip sepanjang pembacaan untuk PhD saya akan mula diaplikasikan di sini.

Insya Allah, sekiranya semua perancangan ini dilaksanakan, kampung-kampung tersebut akan tidak lagi 'dilabelkan sebagai kampung setinggan', yang sememangnya tidak boleh dikatakan setinggan. Kerana penubuhan kampung-kampung itu sama tuanya dengan pembukaan Kuala Lumpur! Pemerkasaan ini tentunya memerlukan satu usaha bersepadu yang akan saya libatkan pelajar dan sahabat-sahabat saya nanti. Ayuh!

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails